Friday 16 May 2014

Cahaya Ketenangan


"Maaf  Cik Wafa. Cik Wafa disahkan menghidap kanser usus tahap empat. Cik cuma ada kira- kira lima bulan untuk hidup," lelaki berseragam putih itu menuturkan dengan penuh berhati-hati di hadapannya.

Wajahnya tiba-tiba seakan kehilangan darah, pucat secara mendadak.

'Ya Allah, inikah hadiah yang teristimewa buatku?' hatinya terdetik dalam syahdu. Sedih, sebak, pasrah, terkejut, terharu bercampur baur dalam benak itu. Mata yang sering tersenyum itu kini menakung air hangat yang melimpah jatuh ke pipi.

"Doktor, saya mohon agar doktor merahsiakan penyakit ini daripada ahli keluarga saya," rayunya dalam tangis yang semakin lebat.

"Tapi..."

"Saya merayu, doktor. Tolong rahsiakan daripada mereka." Pandangannya kabur, terasa sekelilingnya berputar.

Dunia gelap seketika.

..................................................................................................................................................................

Matanya dibuka perlahan-lahan. Dilihat sekeliling memikirkan keberadaannya. Di katil sebelahnya, seorang warga emas sedang berdengkur halus, tidur. Deria baunya menangkap bau aroma ubat-ubatan.

'Ah, masih di sini aku rupanya.'

Diraup wajahnya, membebaskan diri dari alam mimpi yang membuainya dalam lena sebentar tadi. Memorinya ketika bersama ibunya diputar semula, menghiasi mimpi itu. Sungguh, dia rindukan ibunya!
Saat air mata mula memberati kelopak matanya, dia mendongak. Enggan membenarkan air hangat itu mengalir lagi. Dia ingin kuat ! Dia masih punya misi yang masih perlu dilunaskan. Dia mengerling jam di dinding, jam menunjukkan pukul 4.30 pagi.

'Ya Allah, aku rindu untuk mengadu padaMu! Alhamdulillah'

Kaki melangkah perlahan-lahan ke bilik air, dia ingin membersihkan diri, berhias diri menghadap Rabb-nya.

Usai menunaikan solat dua rakaat, dia berteleku di sejadah mengadu sepuas hatinya. Dia meminta agar hatinya dipujuk menerima berita yang benar-benar menampar hebat keyakinannya. Namun sedaya upaya dia pasakkan semula keyakinan itu dengan pengaduan dan pergantungan kepada-Nya. Di situ juga air matanya yang ditahan tumpah, selari dengan rasa sedihnya dan lemahnya dia di hadapan Khaliq itu.

Dia kemudian beralih kepada kitab cintanya, kitab yang dia bawa ke mana sahaja sejak penghijrahannya. Lalu dia membaca secara tartil, berhati-hati menjaga hukum tajwid. Sampai ke satu ayat, dia terhenti meneliti kalam Allah buatnya.

"Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…. (al-Baqarah 286)

Hatinya berbunga keriangan. Bibirnya menguntum senyum kegirangan.

...................................................................................................................................................................
-Bersambung-