Friday 5 December 2014

Sabar

" ربنا أفرغ علينا صبرا وتوفّنا مسلمين"

"Ya Allah, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Muslim"

Acap kali selesai solat, tak jemu-jemu kualunkan doa ini. Kerana aku dapat merasakan kesabaranku semakin menipis, hari demi hari. Aku tidak lagi saperti dahulu, bisa bertoleransi saat aku disakiti, disalahi, dan ditegur. Egoku membesar hari demi hari. Semuanya kerana diri ini  sudah penat membiarkan hati ditoreh sesuka hati. Ya lah, dalam menjaga hati orang lain, hati kita terluka juga. Kubiarkan ego itu membesar sehingga sukar dikawal adakalanya, Malah, pantang silap sedikit, melenting dan berapi jadinya. Jika masih boleh dipendam, dipendam sehingga lava gunung api itu meletus. Tetapi tanpa sedar, aku juga membunuh diri sendiri. Perasaan tenang itu sirna dan hati serba tidak tenteram. Ya lah, dendam terlalu banyak. Orang itu bahagia, tiada terkena apa-apa masalah sedangkan aku merana menghadapi dendam yang melemahkan ruh.

Lalu aku panjatkan pada Allah, kerana dia lebih berkuasa ke atasku. Aku ini hakikatnya lemah, tetapi ego menggunung tinggi. Aku pohon doa tanpa henti. Tetapi lama- kelamaan, aku semakin berputus asa lantaran permintaanku itu tidak menunjukkan tanda dimakbulkan. Aku malah diuji. Ada masanya aku melihat ujian itu sebagai penghalang, sengaja ingin menggagalkan perkara ideal yang telah direncana dalam minda. Aku ingin menjadi yang ideal, tiada kelihatan jelas kelemahanku. Aku ingin kelihatan sempurna pada mata manusia. Namun lain pula jadinya, aku melihat banyak kekuranganku dipertontonkan. Aku kecewa. Lalu doa itu digugurkan dari senarai doa yang dialunkan. 

Kini, Allah kembali meletakkanku di tempat yang tidak aku sukai. Tiada daya untuk aku menolaknya walau dalam hati ini, aku merasa terhina, dianiaya dan tidak adil buatku. Aku sedih, malah mempersoalkanyya. Tetapi aku mencuba yang terbaik. Saat aku merasa lemah dan keseorangan, aku mencari kekuatan. Baru kusedari bahawa Allah itu sentiasa bersamaku. Dan betapa selama ini aku lupa pada hakikat itu. Aku lupa bahawa saat aku diuji, Allah setia di sisiku, ingin aku mengadu hanya pada-Nya. Tetapi aku buta. 

Dan kini aku kembali celik. Aku sandarkan usaha dan ikhtiarku kepada Allah. Aku percaya ada sebab mengapa Allah meletakkan aku di tempat ini. Allah ingin mengajarkanku sesuatu. Erti kesabaran dan redha. Juga kebergantungan penuh padanya dan menyedari bahawa Dia lah yang paling sempurna. Itulah tarbiyyah dari Allah. Aku cuba merendahkan egoku meminta maaf kepada sesiapa yang aku merasa tidak puas hati, lalu dibalas dengan kata-kata ibarat petrol pada api kemarahanku. Seketika api itu membara, hujan juga bisa menitis. Namun, aku serahkan kepada Allah. Aku sudah mencuba sehabis baik memulihkan, tetapi hasilnya ditentukan oleh Allah. Siapa aku untuk mempersoalkannya? 


الهي لست للفردوس أهلا ولا أقوى على النار الجحيم