Friday 14 February 2014

Ironis

Aku melihat mereka itu,
tegar berusaha tanpa mengenal erti jemu,
sedang aku dan mereka dahulunya segarisan.

Aku melihat mereka itu,
makin jauh haluan dariku,
ternyata kini berbeza,
bergerak jauh ke hadapan,
sukarku gapai kilasan bayangnya.

Aku melihat mereka itu,
teguh menangkis ujian dan dugaan,
tersenyum dalam tangis,
jatuhnya bingkas bangkit.

Aku melihat mereka itu,
bukti kesetiaan sandaran kepada Yang Esa,
gagah menyandang jawatan khalifah,
amanah menegakkan al-Haq,
dalam sedar ancaman yang kan menyerang.

Aku melihat mereka itu,
tabah meneruskan perjalanan,
sekalipun aku minggir dari mereka,
sekalipun alasanku meningkah pengharapan mereka.

Aku,
masih meneruskan perjalananku,
dan memilih haluan yang berbeza.

Aku,
yang kompleks rasa sesalnya,
meninggalkan komrad saat uncak berjuang ,
yang enggak becus digelar sang pejuang.

Aku
yang kelihatannya mundur
ke belakang,
yang tampak menjunam kondisinya,
lantaran minggir dari jalan itu.

Aku
membiarkan nafsi selesa dengan kemalasan,
tewas dalam pertembungan
nafsu dan cahaya,

Aku,
masih mencari identiti diri,
yang semakin haus dihakis hari.

Aku,
pemirah yang
enggan berdepan risiko,
enggan melangkah dengan langkahan besar.

Aku,
masih belum menemui kualiti potensi,
yang tersimpan dalam diri.

Aku,
yang tautan hatinya renggang,
yang kimia manusianya picis,
yang lemah hatinya.

Aku,
yang waqafnya lama di persimpangan pilihan,
yang komitmennya tidak seimbang,
yang urusannya tidak tersusun,

Aku,
yang hatinya tumpul dan semakin tenat,
yang mengegosi saat krisis macet menyerang.

Aku jadi tertanya-tanya,
haruskah aku menjadi mereka yang lantang bersuara?
sedang hakikatku sebagai seorang pemirah takkan terubah.
haruskah aku menjadi mereka yang utuh usaha menarik hati-hati?
sedang nafsi kepicisan percikan kimia.

Ah,
terlalu lama peluang dihulur,
misiku masih tidak juga selesai.
aku tercampak ke dalam dilema.
membenci diri atau memberi hak nafsi.

_Menyesuaikan keberadaan dan hakikat diri_