Tuesday 29 April 2014

Ikhlas

Ikhlas itu,
ibarat semut hitam
yang berjalan
di atas batu hitam
di malam yang gelap.

Ikhlas itu,
sifatnya tersembunyi,
memberi
tidak mengharap balasan,
membantu
tidak mengharap ganjaran,
berkorban
tidak mengira keuntungan.

Ikhlas,
tidak akan dapat kau ukur
dengan manisnya senyuman,
kerana hati manusia itu
berbeza suaranya,
berbeza perwatakannya.

Ikhlas,
sangat sukar dikesan
kebanyakan manusia,
lantaran hati itu tidak bersih,
lantaran hati itu rabun,
lantaran hati itu tidak belajar menghargai,

Lalu,
Siapakah yang bisa melihat keikhlasan itu?
Jawapan yang tiada tandingnya,
Allah Tuhanku.

Ikhlas,
penyeri sukma,
penstabil emosi,
pencetus ketenangan,
tatkala hati cedera dalam penghakiman manusia.

Ikhlas,
tidak dapat kau beli
dengan harta bertimbun,
dengan paras yang indah.

Ikhlas,
cahaya yang memandu
keluar dari kehinaan
masuk ke tingkat yang terpuji.